Berita Utama

PRN Johor: 85 calon hilang deposit

Ini termasuk calon parti baharu Pejuang, PBM dan Putra

KUALA LUMPUR, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan cubaan 85 calon menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya itu pulang dengan “tangan kosong” selepas kehilangan deposit.

Ini termasuk calon tiga parti baharu yang membuat langkah sulung iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mempertaruhkan 42 calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) (empat calon) dan Parti Bumiputra Perkasa Malaysia (Putra) (seorang calon).

Parti Warisan yang melebarkan sayapnya di Semenanjung dengan meletakkan enam calon selain Parti Sosialis Malaysia yang bertanding satu kerusi turut menerima nasib sama.

Selain itu, tujuh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan, Semarang, Tenggeroh, Pasir Raja, Johor Lama, Tanjung Surat dan Benut turut kehilangan deposit setelah gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

Manakala masing-masing empat calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di Yong Peng, Layang-Layang, Mengkibol dan Paloh dan Pakatan Harapan (PH) di Endau, Panti, Sedeli dan Penawar turut menerima nasib sama.

Bagi kesemua 16 calon Bebas yang bertanding di 12 DUN, hanya Zahari Osman yang berhadapan pertandingan empat penjuru di DUN Penggaram memperoleh undi tertinggi berbanding calon Bebas lain iaitu sebanyak 2,190 undi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button