Berita Utama

PRN Johor: Takiyuddin bidas Zahid, nasihat supaya tak sombong dan angkuh

PAS dan PN terima keputusan dengan hati yang lapang

BANGI, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Kesombongan adalah ego tidak sihat yang perlu diperbaiki, kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Kenyataan berkenaan dipercayai ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi ciapan terbaharu di akaun Twitter, Takiyuddin melahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan Ahmad Zahid yang dianggap sombong dan angkuh.

“Meski kita berjaya dalam satu segmen, berehsan dan bekerjasama tetap suatu langkah bijaksana dalam semua keadaan.

“Apatah lagi tatkala kita masih menumpang ehsan dalam satu segmen yang lain. ‘Arrogance is an unhealthy ego in need of repair’,” katanya, hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan yang BN tidak perlu bekerjasama dengan parti lain sekiranya menang besar dalam PRN Johor.

Dalam perkembangan sama, PAS yang bersama dengan Perikatan Nasional (PN) menerima keputusan PRN Johor dengan ‘hati yang lapang’.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan terus menyantuni rakyat berdasarkan peningkatan sokongan ketara di kebanyakan kerusi yang ditandingi parti itu.

“PAS turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Johor yang telah mengundi calon-calon PN khususnya yang dikemukakan PAS.

“Sokongan yang diberikan amat bermakna bagi meneruskan agenda prihatin, berintegriti dan berkebajikan demi kemaslahatan negeri serta negara,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan PRN Johor semalam menyaksikan PAS hanya berjaya meraih satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dalam persaingan sengit enam penjuru di situ.

Manakala 14 calon PAS yang bertanding untuk merebut kerusi DUN dalam PRN Johor tumbang ditewaskan calon daripada parti lawan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button