Berita Utama

RoS luluskan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah

Penuhi permintaan pihak yang mahu gabungan didaftar secara sah

KOTA KINABALU, 10 Syaaban 1443H, Ahad – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah meluluskan pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai badan gabungan parti politik rasmi di negeri itu, kata Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor.

Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS memperoleh sijil kelulusan pendaftarannya itu daripada RoS pada Jumaat lepas (11 Mac) selepas menghantar permohonan beberapa minggu lalu dan kelulusan itu memenuhi permintaan semua pihak yang mahu gabungan itu didaftarkan secara sah.

“Ini adalah perkembangan amat bersejarah, satu jajaran politik baharu di Sabah dan kami harap dengan pendaftaran ini kami akan menyatupadukan lagi parti-parti yang ada di Sabah.

“Selepas pendaftaran GRS disahkan, gabungan parti ini akan digunakan untuk membangunkan negeri Sabah. Ini merupakan langkah yang sesuai dan terbaik dalam keadaan politik Sabah yang wujud pada hari ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada majlis pelancaran Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Pusat Konvensyen Sabah di sini yang turut dihadiri Presiden Parti KDM Datuk Peter Anthony.

Mengulas pelancaran KDM itu, Hajiji berkata GRS mengalu-alukan minat dan hasrat KDM untuk bersama-sama dengan GRS.

Sementara itu, Peter berkata pihaknya bersedia menerima apa juga pandangan serta teguran mengenai hasrat parti itu menyertai GRS dan menyerahkan sepenuhnya kepada gabungan itu untuk mempertimbangkan penyertaan tersebut.

“Kami telah menyerahkan surat permohonan untuk memasuki (GRS) kepada Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS,” katanya sambil menyatakan bahawa sudah sampai masanya gencatan politik dilaksana di Sabah demi membangunkan negeri itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button