Berita Utama

Kepemimpinan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN masih diperlukan

Tak akan biarkan pemimpin terpalit rasuah, seleweng kuasa terajui negara

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertahankan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk menerajui kepimpinan parti bagi menghadapi cabaran lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara tersebut ditegaskan Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri yang melihat kepemimpinan Muhyiddin masih diperlukan dalam parti Bersatu dan menerajui PN sebagai gagasan yang memperjuangkan kerajaan berintegriti.

Katanya, Pengerusi PN Johor itu mampu mengetuai pentadbiran demgan cekap dan prihatin rakyat bersama parti komponen PAS dan parti Gerakan.

“Ada pihak menggunakan sentimen kekalahan calon-calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk mengadu domba, punca utamanya konon disebabkan kesilapan pendekatan atau strategi Muhyiddin.

“Namun, kami tahu beliau, barisan kepemimpinan PN serta jentera pilihan raya parti telah melakukan yang terbaik tetapi banyak lagi faktor lain menyumbang kepada kekalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, PRN Johor menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang selesa dan berjaya membentuk kerajaan baharu apabila menang 40 kerusi daripada 56 kerusi ditandingi.

Sementara itu, PN yang turut bertanding di kesemua 56 kerusi hanya memenangi tiga kerusi bagi kawasan DUN Endau, Maharani dan Bukit Kepong.

Meskipun begitu, Mohd Solihan menegaskan, kekalahan tersebut membakar semangat dan iltizam parti tersebut untuk meneruskan perjuangan agenda pembaharuan landskap politik, tadbir urus negara berteraskan integriti serta mensejahterakan rakyat.

Katanya, kepemimpinan PN tidak akan terus membiarkan mana-mana pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan kuasa memimpin sebuah parti Melayu serta menerajui kerajaan di negara ini.

“Kami khuatir, ahli-ahli parti itu pun akan sama-sama mengamalkan rasuah dan menerima gejala tersebut sebagai satu budaya kerana meneladani perlakuan pemimpin mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button