Berita Utama

Negeri Sembilan umum SOP masjid, surau dalam masa terdekat : MB

Memperincikan beberapa perkara selain tunggu perkenan Tuanku Muhriz

SEREMBAN, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Kerajaan Negeri Sembilan akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) masjid dan surau dalam waktu terdekat, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang dalam peringkat memperincikan beberapa perkara dalam SOP tersebut selain menunggu untuk perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

“Mengenai jarak saf, kami tak tahu lagi keadaannya tapi kami sediakan dua SOP, kami akan pilih yang mana satu. Kalau rapat (saf) ada caranya, bukan rapat macam dulu, kami ada cara kami… mungkin satu sejadah seorang, ia juga digunakan di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penghargaan pesara pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan 2021 di sebuah hotel, hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor mengumumkan aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ mulai 1 April ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan Pihak Berkuasa Agama Negeri masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri menyifatkan, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tidak memihak kepada PH merupakan mesej jelas bagi memperbaiki dan memperkuatkan semula parti itu.

“Saya rasa kita kena respons segera kepada perkara tersebut terutama apabila orang tidak keluar mengundi, yang penting untuk beri kesedaran bahawa demokrasi itu harus disuburkan kembali dan kita tak nak nanti politik dilihat membosankan dan akhirnya merugikan negara,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button