Berita Utama

KPM teliti garis panduan kemasukan kanak-kanak tanpa dokumen ke sekolah

Libat sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan di bawah KPM

KUALA LUMPUR, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti semula garis panduan dan prosedur kemasukan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen ke sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah kementerian itu.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sementara penelitian itu dilaksanakan, Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 1/2009: Kemasukan Kanak-kanak Warganegara Tanpa Dokumen ke Sekolah dan Surat Siaran KPM Bilangan (3) Tahun 2018: Permohonan Kemasukan Sekolah Murid Bukan Warganegara masih berkuat kuasa.

“Untuk makluman Yang Berhormat, tidak ada sebarang perubahan kepada dasar ataupun pekeliling baharu yang dikeluarkan selain daripada (surat) yang ada bertarikh 11 Mac 2009 dan 15 Jan 2018.

“KPM menyedari terdapat kes-kes di mana anak-anak warganegara tidak dapat meneruskan pendidikan di sekolah rendah. Justeru sebarang isu yang timbul berhubung perkara itu akan dipertimbang berdasarkan maklumat kes dan tertakluk kepada peraturan serta undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Radzi berkata Kementerian Pendidikan juga mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri serta agensi berkaitan dalam meneliti semula garis panduan berhubung perkara itu.

Sementara itu beliau turut menjelaskan Zero Reject Policy (ZRP) bukan merujuk kepada kemasukan murid tanpa dokumen ke sekolah, sebaliknya ia merujuk kepada penempatan persekolahan murid berkeperluan khas di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan tanpa menafikan hak mereka untuk menerima pendidikan di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button