Berita Utama

Politik matang, sejahtera masih teguh dalam PAS sehingga kini

PAS belum bincang hasrat Muhyiddin untuk meletak jawatan

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan, budaya politik matang dan sejahtera masih teguh dipertahankan serta terus dihayati semua peringkat sehingga kini.

Kenyataan tersebut sekali gus menolak dakwaan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kononnya budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar PAS sudah lenyap.

“Tentang dakwaan itu kena tanya dia (Mohd Khairuddin), saya pun tidak faham apa maksudnya kerana budaya itu ada dan sentiasa ditekankan oleh kepemimpinan sehingga hari ini,” katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin dalam kenyataan di Facebook mendakwa budaya politik matang dan sejahtera sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan susulan serangan bertali arus oleh kepemimpinan tertinggi PAS dan Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN).

Katanya, tindakan menyerang UMNO yang masih lagi rakan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) tidak mampu menarik penyokong BN untuk menyokong PN.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata, PAS masih belum membincangkan mengenai hasrat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletak jawatan berikutan prestasi hambar gabungan tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

Katanya PAS akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa parti pada Jumaat ini.

Bagaimanapun Menteri Besar Terengganu itu tidak pasti perkara berkenaan akan menjadi topik yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Dalam perkembangan PRN Johor, Ahmad Samsuri menjelaskan PAS kini berada dalam kedudukan yang baik berikutan kejayaan mencapai objektif menerusi peningkatan jumlah undi.

Pautan terdahulu;

‘Budaya politik matang sejahtera PAS sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan’

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button