Berita Utama

Tiada lagi pengeluaran khas dana KWSP, tegas Tengku Zafrul

Pengeluaran pra-persaraan diperkenal sebagai langkah sementara

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Tiada lagi pengeluaran khas dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang akan dibenarkan selepas pelaksanaan skim i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga skim itu merupakan pengeluaran pra-persaraan yang hanya diperkenalkan sebagai langkah sementara.

“Tiga program ini hanya langkah sementara bagi membantu kelangsungan hidup ahli KWSP dalam menempuh impak COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Negara lain seperti Australia, Chile dan Peru juga membenarkan akses awal kepada simpanan persaraan bagi membantu rakyat, tetapi sekarang tidak lagi dibenarkan.

“Singapura langsung tidak membenarkan sebarang pengeluaran dana persaraan atas tujuan COVID-19,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Marimuthu Nadason meminta, kerajaan membenarkan rakyat mengeluarkan KWSP daripada membiarkan memilih along dan pemberi pinjam wang tidak berlesen yang akan memburukkan lagi situasi.

“Lebih baik rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP mereka, kerajaan perlu faham yang jika rakyat perlu menggunakan wang hari ini,

“Mereka perlukan sekarang kerana ini adalah masa yang kritikal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button