Larangan berhijab: Penduduk Islam kecam keputusan Mahkamah India
Anggap bukan amalan penting, larang berhijab di institut pendidikan

KARNATAKA, 11 Syaaban 1443H, Selasa – Mahkamah India hari ini mengekalkan larangan pemakaian hijab di dalam institut pendidikan di Karnataka – sebuah negeri di selatan negara ini.
Keputusan itu akan menyebabkan beribu-ribu gadis kehilangan peluang untuk mendapatkan ilmu, kata aktivis Afreen Fatima.
Ketua Hakim Negara, Ritu Raj Awsthi berkata, pihaknya berpandangan, pemakaian hijab oleh wanita Islam tidak menjadi sebahagian daripada amalan agama yang penting.
“Kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan garis panduan pakaian seragam dan sekali gus menolak pelbagai petisyen yang membantah keputusan tersebut,” katanya.
Keputusan itu dikeluarkan susulan bantahan terhadap tindakan kerajaan Karnataka yang melarang pelajar memakai hijab di sekolah dan kolej.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Karnataka menolak semua petisyen mencabar perintah kerajaan mengenai hijab dengan alasan ia bukan amalan agama yang penting.
Aktivis dan ulama Islam melihat larangan itu sebagai diskriminasi agama dan pelanggaran hak asasi yang dijamin Perlembagaan.
Sementara itu, aktivis, Safoora Zargar pula menyifatkan keputusan berkenaan sebagai bencana dan kepalsuan mutlak.
Karnataka diperintah kerajaan Hindu Bharatiya Janata Party (BJP), yang menyaksikan peningkatan dalam ketegangan agama. – Agensi