UMNO sudah tawar hati dengan MN, yakin bergerak solo
Tidak senang hati dengan sikap segelintir pemimpin PAS

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 11 Syaaban 1443H, Selasa – UMNO kini dilihat sudah tawar hati untuk meneruskan hubungan kerjasama dengan PAS melalui ikatan Muafakat Nasional (MN).
Perkara tersebut dipercayai berkait rapat dengan rasa kurang senang pemimpin parti berteraskan Melayu itu dengan segelintir pemimpin PAS.
Namun begitu, Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Prof Datuk Dr Ismail Sualman percaya, dalam diam UMNO masih menagih sokongan MN khususnya bila melihat nasib bakal menimpa pemimpin kluster mahkamah.
Oleh disebabkan itu, katanya, mereka kini mengambil sikap ‘embargo’ dengan menunggu dan melihat sebelum bertindak untuk melepaskan MN.
“Walaupun UMNO sudah tawar hati tetapi hakikatnya parti tersebut masih memerlukan sokongan daripada PAS.
“Namun disebabkan sikap-sikap yang tidak disenangi dengan sebahagian pemimpin PAS membuatkan UMNO yakin untuk terus bergerak solo.
“Walaupun hakikatnya mereka sebenar berada dalam ketakutan berikutan berada dalam keadaan tidak selamat apabila melibat pemimpin-pemimpin yang berada dalam kluster mahkamah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai jangka hayat MN yang semakin terumbang ambing selepas kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.
Ismail yakin ramai pihak ternanti-nantikan status terkini MN susulan kejayaan UMNO memenangi beberapa PRN secara solo.
“Tidak adil sekiranya rakyat membuat andaian MN terkubur begitu sahaja sedangkan hubungan kedua-dua pihak ini masih boleh diselamatkan.
“Tidak mustahil (MN) kembali kuat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berpandangan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bakal diadakan kelak mungkin menjadi penentu kepada masa hadapan MN.
“Walaupun keputusan ini hanya dibuat oleh UMNO dalam PAU nanti tetapi ia akan dibawa berbincang bersama Barisan Nasional (BN) yang akan membuat keputusan secara keseluruhannya,” katanya.