Berita Utama

6 negeri takkan bubar DUN jika PRU15 dalam masa terdekat

MB Negeri Sembilan enggan dedah lima lagi negeri terlibat

BANGI, 12 Syaaban 1443H, Selasa – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan enam buah negeri tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.

Tegas beliau, perkara itu dibincangkannya bersama lima buah negeri lain ketika berlangsung Mesyuarat Majlis Raja-Raja di ibu negara, baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebut nama lima negeri berkenaan sebaliknya menegaskan pembubaran itu hanya akan dilakukan selepas penggal tamat pada tahun hadapan.

“Saya ada berbincang dengan beberapa negeri, enam negeri termasuk Negeri Sembilan semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja tempoh hari.

“Enam negeri mengatakan mungkin mereka akan sehingga ke akhir tempoh penggal, saya tidak boleh maklumkan negeri-negeri yang mana,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada enam negeri itu termasuk Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH), Aminuddin mengatakan ada kemungkinannya.

“Yang minta PRU15 segera hanya Barisan Nasional (BN), yang lain tidak minta, dan dalam BN itu pun ada yang minta dan ada yang tidak.

“Untuk makluman, saya tidak bubarkan sehingga tamat tempoh penggal,” kata beliau.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh kerajaan PH, manakala PAS membentuk kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button