Berita Utama

Isu Port Dickson: MB Negeri Sembilan ‘cakap tak serupa bikin’

Tak leceh tukar nama asal selagi pemimpin serius angkat tamadun Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 12 Syaaban 1443H, Selasa – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan sebagai ‘cakap tak serupa bikin’ apabila menyarankan bangsa Melayu untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.

Ini kerana beliau sendiri sukar untuk memberi lampu hijau berhubung cadangan pihak tertentu supaya Port Dickson digantikan dengan nama asalnya iaitu Tanjung.

Sebelum ini, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican mencadangkan, Port Dickson perlu kembali kepada nama asalnya sebelum zaman penjajahan.

Ia muncul selepas melihat usaha penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka di Melaka, baru-baru ini.

Bagaimanapun bagi Aminuddin, perkara tersebut perlu dilihat daripada rasionalnya memandangkan nama Port Dickson itu sendiri sudah terkenal dengan produk pelancongan.

“Port Dickson itu sendiri sudah terkenal sebagai lokasi pelancongan, kalau diubah sudah pastinya memberikan kesukaran untuk ‘menjual’ semula nama baharu ia akan ambil masa, untuk menjenamakannya juga bukan mudah.

“Mereka boleh mencadangkan tetapi pada dasarnya untuk menjual nama bukannya mudah. Seperti kita lahirkan sesuatu yang baharu dan terus kenalkan kepada luar, itu yang harus kita fahami,” katanya.

Mengulas perkara itu, Naib Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Soufi Anual berpendapat, sekiranya seseorang pemimpin serius untuk mengangkat tamadun serta berbangga dengan bahasa Melayu, tindakan untuk menukar kepada nama asal bukan perkara sukar.

“Memang ada implikasi. Sign board (papan tanda) kena tukar. Memang akan ambil masa tapi bukanlah kali pertama kita nak buat pun.

“Sudah banyak tempat pun telah ditukar. Jadi kenapa nak berbangga dan mengekalkan nama Port Dickson itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Atas sebab itu, beliau menyifatkan jawapan yang diberikan Menteri Besar berhubung cadangan penukaran nama itu sebagai lemah.

Justeru, Soufi melihat Aminuddin tidak lagi layak menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin nombor satu negeri susulan daripada sikap yang dipamerkan.

“Kalau betul rakyat Malaysia yang bangga dengan nilai jati diri, warga yang berjiwa merdeka sepatutnya tidak leceh untuk tukar yang penting kena ‘endorse’ sebagai Menteri Besar.

“Kita nak tukar nama itu pun untuk memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Pautan terdahulu;

Port Dickson sudah terkenal, sukar tukar nama baharu

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button