Berita Utama

Kes Adib: Jawatankuasa Khas Siasatan minta orang awam tampil kongsi maklumat

Laporan Interim telah disiapkan dan dibentang hari ini

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Selasa – Jawatankuasa Khas Siasatan melibatkan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menggesa, orang awam tampil berkongsi maklumat atau bukti bergambar serta rakaman video berkenaan kejadian tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sesiapa yang mempunyai maklumat boleh terus menghubungi Sekretariat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Jelasnya, mereka boleh menghubungi Yusof Ali di talian 03-8885190 atau emel [email protected] atau Sanjeetha Nair di talian 03-88851209 atau emel [email protected]

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya telah mendengar pembentangan Laporan Interim yang merupakan laporan kemajuan daripada ahli-ahli Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan Interim ini telah disiapkan dalam tempoh ditetapkan iaitu tiga bulan dari tarikh ditubuhkan dan telah dibentangkan hari ini.

“Laporan ini juga telah dibentangkan oleh Prof Madya Datuk Dr Sundramoorthy M Pathmanathan selaku Setiausaha Jawatankuasa Khas Teknikal.

“Laporan ini berdasarkan maklumat sedia ada serta tindakan-tindakan yang telah diambil oleh ahli-ahli Jawatankuasa Teknikal dalam mendapatkan fakta lanjut berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan telah dipersetujui pada 8 Disember 2021 dan mesyuarat pertamanya diadakan pada 21 Disember tahun sama.

Jawatankuasa Khas Siasatan juga bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Teknikal yang dapat membantu dalam proses pencarian fakta, manakala Laporan Akhir akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa enam bulan dari tarikh penubuhannya.

Sebelum ini, Wan Junaidi berkata, akan mempengerusikan jawatankuasa tersebut yang turut dibarisi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

17 Disember 2018, Allahyarham Muhammad Adib disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya, pada 27 November 2018.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button