Perang di Ukraine mungkin berakhir awal Mei
Pertempuran taktikal kecil masih boleh berlaku selama setahun

KYIV, 12 Syaaban 1443H, Selasa – Perang di Ukraine berkemungkinan berakhir pada awal Mei apabila Russia kehabisan sumber untuk menyerang jirannya, kata penasihat kepada ketua kakitangan Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych.
Menerusi video yang disiarkan oleh beberapa media Ukraine, Arestovych berkata, masa yang tepat akan bergantung kepada berapa banyak sumber Kremlin sanggup komited untuk kempen itu.
“Saya fikir selewat-lewatnya pada awal Mei, kami sepatutnya mengadakan perjanjian damai, mungkin lebih awal, saya bercakap mengenai tarikh terkini yang mungkin,” katanya
Katanya lagi, senario yang ‘benar-benar gila’ juga boleh membabitkan Russia menghantar tentera baharu selepas sebulan menjalani latihan.
Menurut Arestovych, walaupun selepas keamanan dipersetujui, pertempuran taktikal kecil boleh berlaku selama setahun, meskipun Ukraine menegaskan penyingkiran sepenuhnya tentera Russia dari wilayah negara itu.
Perang di Ukraine bermula pada 24 Februari lalu apabila Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan ‘operasi ketenteraan khas,’ serangan terbesar ke atas negara Eropah sejak Perang Dunia Kedua. – Agensi