Berita Utama

Selangor berhasrat keluar kad pengesahan lengkap vaksinasi

Kerajaan negeri punya 63,132 dos vaksin Sinovac luput tahun depan

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Selasa – Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengeluarkan kad pengesahan lengkap vaksinasi kepada rakyatnya yang sudah selesai mendapatkan vaksin penuh.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, cadangan itu wujud selepas mendapati, pihak pengendali MySejahtera mengenakan caj bagi mengeluarkan sijil di dalam aplikasi tersebut.

“Kita tidak dimaklumkan mengenai hal caj ini daripada pihak MySejahtera sebelum ini dan tidak adil untuk mereka buat macam ini.

“Bagaimanapun, rundingan lanjut di antara pihak kerajaan negeri dan pihak terbabit berhubung perkara ini sedang berlangsung,” katanya dalam Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2022, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaliah Jamaluddin (PH-Bandar Utama) berhubung isu terdapat beberapa rakyat Selangor yang masih belum mendapat sijil vaksinasi meskipun sudah lengkap divaksin.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memberitahu, Selangor masih memiliki 63,132 dos vaksin Sinovac dengan tarikh luputnya adalah pada tahun hadapan.

“Kerajaan negeri akan meneruskan program Vaksin Selangor (SelVAX) yang termasuk program SelVAX Kids, iaitu program pemberian vaksin kepada kanak-kanak berumur lima tahun.

“Rakyat Selangor akan diberikan keutamaan untuk mendapatkan baki dos ini, memandangkan warga asing boleh mendapatkan vaksin SelVAX Industri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button