Dunia

Ukraine dakwa Russia bunuh 2,500 orang awam sejak perang

Serangan Moscow bagaimanapun gagal tawan bandar Mariupol

KYIV, 12 Syaaban 1443H, Selasa – Pejabat Presiden Ukraine mendakwa lebih 2,500 orang awam terbunuh dalam serangan tentera Russia ke atas bandar Mariupol yang terkepung.

Penasihat kepada Presiden, Oleksiy Arestovych dalam kenyataan mendakwa, tentera Ukraine setakat ini telah menggagalkan serangan Russia di bandar pelabuhan Mariupol, namun data rasmi kerajaan tempatan memaklumkan lebih 2,500 orang awam terkorban dalam serangan Moscow.

Bagaimanapun, tentera Russia tidak dapat menawan bandar itu, sebaliknya hanya menyasarkan serangan ke atas struktur awam, katanya.

“Russia mahu menghapuskan bandar itu dari muka bumi,” katanya.

Arestovych mendakwa bahawa tentera Ukraine telah memusnahkan satu pertiga daripada tentera Russia.

“Menurut arahan kami, lebih daripada 90 kumpulan batalion taktikal yang digunakan oleh musuh di Ukraine sejak 24 Februari, lebih daripada 30 telah dimusnahkan atau kehilangan keupayaan bertempur.

“Dalam erti kata lain, kami telah mengalahkan satu pertiga daripada pasukan musuh,” dakwanya.

Terdahulu, pasukan Palang Merah menyifatkan senario terburuk menanti ratusan ribu orang awam yang terperangkap di Mariupol, dengan risiko berdepan kebuluran atau kematian, melainkan perjanjian kemanusiaan konkrit dapat dicapai segera.

“Ratusan ribu penduduk di bandar itu kini menghadapi kekurangan keperluan asas seperti makanan, air dan ubat-ubatan,” kata Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dalam kenyataan.

Menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 2.8 juta orang telah melarikan diri ke negara jiran sejak Russia memulakan perangnya ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu.

Sekurang-kurangnya 596 orang awam turut terbunuh dan 1,067 yang lain cedera di Ukraine, katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button