Berita Utama

1MDB: Pasukan penyiasat PDRM ke Singapura

Kumpul maklumat berhubung kes kait suami Zeti Aziz

KUALA LUMPUR, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ke Singapura pada 29 dan 30 Mac ini untuk mengumpul maklumat atau keterangan berhubung kes suami bekas Gabenor Bank Negara, Datuk Dr Tawfiq Ayman yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura bersetuju pasukan penyiasat PDRM ke negara itu.

Beliau berkata, siasatan kes itu melibatkan keterangan di Malaysia serta Singapura, dan CAD sebelum ini memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat atau dokumen secara on intelligence basis dengan pegawai penyiasat JSJK.

“Kertas siasatan polis telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya pada Oktober lepas dan arahan diterima daripada AGC untuk PDRM mendapatkan keterangan di Singapura yang boleh diterima oleh mahkamah di Malaysia.

“Ekoran arahan ini, JSJK telah berkomunikasi dengan CAD untuk pasukan penyiasat PDRM pergi ke negara itu mendapatkan maklumat lanjut bagi membolehkan polis mengemukakan permohonan di bawah Akta Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah 2002 melalui AGC,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, pihak berkuasa di Singapura telah memberi persetujuan untuk pasukan penyiasat PDRM ke negara itu pada Disember 2021 dan Februari lepas namun tidak dapat dilaksanakan atas beberapa faktor.

“Antaranya adalah penggantungan sementara Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin antara Malaysia dengan Singapura mulai 23 Disember tahun lepas hingga 20 Januari lepas dan pegawai penyiasat menjadi kontak rapat yang kemudian positif COVID-19 pada Februari lepas.

“Keadaan ini menyebabkan pegawai penyiasat tidak dapat memberi maklum balas berhubung tarikh pergerakan yang sesuai ke negara itu,” katanya.

Beliau berkata, respon juga belum diterima daripada saksi yang merupakan warga Singapura mengenai kesediaan mereka untuk ditemu bual oleh pasukan penyiasat PDRM.

Selain itu, siasatan terhadap Tawfiq berhubung penerimaan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dalam akaun bank miliknya di Singapura masih berjalan.

Mohd Kamarudin berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Apa jua kenyataan yang dibuat sebelum ini mengenai siasatan polis terhadap kes Tawfiq dan perjalanan pasukan penyiasat PDRM ke Singapura tidak bermaksud untuk menyembunyikan sebarang fakta atau untuk mengelirukan mana-mana pihak.

“PDRM komited dalam memastikan siasatan kes ini diselesaikan dengan segera secara telus dan adil tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button