Berita Utama

Onn Hafiz digesa segera lulus Enakmen Anti Lompat Parti

‘Jangan lambat, takut ada katak melompat’

BANGI, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Baru sehari dilantik sebagai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi diingatkan supaya menyegerakan proses kelulusan Enakmen Anti Lompat Parti.

Saranan itu dinyatakan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyifatkan langkah tersebut adalah Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor yang digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

“Tahniah Datuk Onn Hafiz atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor ke-19.

“Jangan lupa ya Ikhtiar Manifesto; Enakmen Anti Lompat Parti yang akan menjadi Agenda Reformasi Politik.

“Jangan lambat, takut ada katak melompat dan tak cukup Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) nak sokong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya dalam ciapan di akaun Twitternya, hari ini.

1 Mac lalu, persempadanan semula kawasan pilihan raya serta menyegerakan Enakmen Anti Lompat Parti menjadi agenda utama BN Johor sekiranya mendapat mandat dua pertiga pada PRN Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad ketika mengumumkan Ikhtiar BN Johor berkata, tumpuan tersebut mengambil kira kedudukan dua agenda transformasi politik terbabit yang dianggap penting bagi memastikan kestabilan politik di negeri ini.

Onn Hafiz sebelum ini merupakan Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti 6,543 undi.

Beliau menggantikan Datuk Seri Hasni Mohammad, yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button