Berita Utama

Bantuan pelajaran ditolak jika ibu bapa tak bayar zakat kepada amil sah di Terengganu

MAIDAM ada kaedah pastikan ibu bapa pelajar bayar zakat kepada amil diiktiraf

BANGI, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) tidak akan pertimbangkan permohonan bantuan sekali bayar kepada pelajar-pelajar terbaik di negeri Terengganu sekiranya ibu bapa mereka tidak menunaikan zakat fitrah kepada amil yang dilantik.

Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, pihaknya mempunyai kaedah khas untuk memastikan sama ada ibu bapa kepada pelajar yang ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) membayar zakat fitrah kepada amil yang diiktiraf.

“Bayaran bantuan pendidikan sekali bayar tidak akan dipertimbangkan jika ibu bapa pelajar membayar zakat fitrah ke negeri, negara lain atau amil yang tidak diiktiraf.

“Tahun ini MAIDAM melantik 966 orang amil untuk memudahkan umat Islam di seluruh negeri membayar zakat fitrah.

“Kita tegaskan, permohonan bantuan tidak akan dipertimbangkan sekiranya ibu dan bapa pemohon tidak menunaikan zakat seperti disyaratkan MAIDAM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shaikh Harun juga turut mengesahkan syarat tersebut ditetapkan pada borang permohonan bantuan pendidikan.

Malah, beliau berkata, MAIDAM telah memperuntukkan sebanyak RM20.8 juta bagi bantuan sekali bayar kepada 19,825 pelajar yang ditawarkan melanjutkan ke UA, tahun lalu.

Katanya, setiap pelajar yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah akan menerima bantuan sekali bayaran sebanyak RM1,000, diploma (RM800) manakala sebanyak RM500 kepada pelajar yang ditawarkan ke asrama penuh.

“Tahun lalu, MAIDAM juga turut menyalurkan bantuan awal pengajian kepada 10,916 pelajar membabitkan perbelanjaan sebanyak RM9.6 juta,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button