Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kedah tak bubar DUN bukan kerana takut kalah

Yakin ada negeri lain akan buat pengumuman serupa

BANGI, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Kedah mengambil pendirian selari dengan Negeri Sembilan dan Selangor untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya membuat pendirian sedemikian bagi membolehkan kerajaan meneruskan kerja pentadbiran dan menguruskan negeri seperti yang sudah dirancang.

“Kedah tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat penggal sama seperti Kelantan dan Terengganu.

“Saya yakin ada negeri-negeri lain akan membuat pengumuman yang serupa.

“Tunggulah habis tahun. Bolehkan, bukan jadi masalah pun, yang nak jadi awal tu yang jadi masalah. Pasal apa nak kelam kabut,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Beliau pada masa sama menepis persepsi bahawa keputusan Kedah tidak membubarkan DUN adalah disebabkan takut kepada kekalahan.

“Mahu takut buat apa dengan kalah, ini adat bermain atau berlawan, kalah bukan tidak biasa.

“Lama dah (sebelum ini PAS) kalah, takut buat apa kalah, kita lawan dulu (baru tahu),” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus bertegas dan tidak membubarkan Parlimen selain mentadbir kerajaan sedia ada sehingga tamat penggal.

Semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengulas mengenai keputusan parti itu yang tidak akan membubarkan DUN di tiga negeri dikuasainya iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu hingga habis penggal, tahun depan.

Ditanya samada keputusan itu akan mendatangkan kerugian dari segi kewangan kerana menyebabkan PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan secara berasingan, Muhammad Sanusi menegaskan, disebabkan itu semua pihak perlu memastikan PRU tidak diadakan lebih awal.

“Saya cadangkan PRU pun kita buatlah selepas habis penggal. Tak salah pun buat begitu.

“Yang timbul masalah sekarang ini sebab ada pihak nak buat PRU awal. Kenapa nak kalut-kalut. Tentulah kerana ada udang di sebalik mi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button