Berita Utama

Kerajaan benar pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000

Harap pencarum kekal simpanan kecuali jika benar terdesak

BANGI, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Kerajaan hari ini bersetuju membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diberikan setelah kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak berhubung pengeluaran caruman simpanan persaraan berkenaan.

Beliau berkata, penjelasan lanjut mengenai pengeluaran khas berkenaan akan dibuat oleh Kementerian Kewangan dan pihak KWSP.

“Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

“Walaupun kerajaan memberikan kebenaran khas pengeluaran ini, namun saya merayu kepada pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak,” katanya dalam sidang media khas, sebentar tadi.

Pada masa sama, Ismail berharap para pencarum membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan.

Sebelum ini, kerajaan berdepan desakan banyak pihak supaya membenarkan pengeluaran akhir KWSP sebanyak RM10,000.

Kerajaan sebelum ini pernah membenarkan tiga pengeluaran khas KWSP iaitu melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra yang memanfaatkan 7.34 juta ahli sejak tahun 2020 ekoran krisis pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button