Dunia

Kyiv kuat kuasa perintah berkurung selama 36 jam

Penduduk dilarang keluar kecuali untuk ke pusat perlindungan

KYIV, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Ibu negara Ukraine, Kyiv pada Selasa mengumumkan perintah berkurung selama 36 jam dikuat kuasakan di bandar itu.

Perintah berkurung – keputusan arahan tentera – itu bermula Selasa pada jam 8 malam waktu tempatan dan akan berlangsung sehingga 7 pagi pada Khamis, menurut Datuk Bandar, Vitali Klitschko.

Beliau berkata, bandar itu melalui tempoh sukar apabila tentera Russia cuba mengepungnya dan menggesa penduduk untuk kekal di rumah selama dua hari atau pergi ke pusat perlindungan apabila siren kedengaran.

“Pergerakan di sekitar Kyiv tanpa permit khas adalah dilarang. Ia hanya dibenarkan keluar dengan tujuan untuk ke pusat perlindungan,” katanya.

Perang Russia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari, telah mengundang kecaman antarabangsa yang membawa sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global keluar dari Russia.

Sekurang-kurangnya 636 orang awam dilaporkan terbunuh dan 1,125 yang lain cedera di Ukraine sejak perang bermula.

Malah, lebih tiga juta pelarian telah melarikan diri ke negara jiran, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button