Berita Utama

Langkah kerajaan benar pengeluaran KWSP mampu ringankan beban rakyat: Penganalisis

Pencarum dinasihat cari jalan gandakan semula kewangan, buat tabungan tambahan sebagai persiapan hari tua

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Langkah kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dilihat sebagai tanda prihatin kerajaan meringankan keperitan rakyat dalam menampung perbelanjaan isi rumah.

Penganalisis ekonomi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, langkah itu mampu memberi ‘sinar’ kepada rakyat yang terjejas serta yang baru kembali bangkit selepas terkesan dengan pandemik COVID-19, sebelum ini.

“Kita melihat dari sudut positif dengan menjadikan pengeluaran ini sebagai membantu keadaan semasa selain memulihkan kitaran ekonomi masyarakat yang terjejas dan terhimpit ekoran daripada kesan COVID-19, musibah banjir dan ekonomi negara.

“Bagaimanapun, kebenaran yang diberikan kerajaan tidak sepatutnya diambil kesempatan untuk digunakan ke arah yang tidak penting.

“Sebaliknya, rancang perbelanjaan yang memerlukan selain dijadikan ‘bekalan’ terutama pada masa kecemasan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Kebenaran itu diberikan setelah kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak berhubung pengeluaran caruman simpanan persaraan berkenaan.

Walaupun kelonggaran sedemikian sudah diberikan, Dr Nuradli tetap menasihatkan kepada pencarum supaya bersikap tegas bagi manfaat jangka masa panjang.

Para pencarum digesa meningkatkan lagi pendapatan untuk menggantikan wang yang digunakan pada saat kritikal ini, tegasnya.

Katanya, walaupun diberikan wang dalam jumlah yang besar namun, sekiranya perancangan tidak betul pasti menjadikan wang tidak mencukupi.

“Justeru, perancangan yang bijak mampu memberi kehidupan yang lebih stabil.

“Malah, pencarum juga digalakkan supaya menabung atau mencari jalan bagi menggandakan semula tabungan sebagai persediaan menghadapi hari persaraan dengan lebih selesa dan sempurna,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button