Pfizer mohon kelulusan AS dos penggalak kedua
Rujuk 2 kajian Israel mengenai penggalak mRNA tambahan

WASHINGTON, 13 Syaaban 1443H, Rabu – Pfizer dan BioNTech mengumumkan telah secara rasmi memohon untuk kelulusan kecemasan bagi suntikan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 terhadap individu berusia 65 tahun ke atas kepada pengawal selia ubat-ubatan Amerika Syarikat (AS).
Syarikat itu dalam satu kenyataan bersama berkata, permohonan berkenaan adalah berdasarkan dua kajian Israel yang menunjukkan penggalak mRNA tambahan meningkatkan imunogenisiti dan menurunkan kadar jangkitan serta risiko gejala serius.
Kadar kes di kebanyakan negara menurun dengan ketara ketika gelombang Omicron, walaupun ada beberapa negara yang merekodkan paras tertinggi atau mula meningkat apabila menarik balik sekatan, selain perlindungan daripada suntikan dos terdahulu mula berkurang.
Kajian pertama Israel yang dipetik Pfizer dan BioNTech menunjukkan bahawa kadar jangkitan adalah dua kali lebih rendah dan kadar gejala teruk pula empat kali lebih rendah dalam kalangan individu yang menerima dos penggalak tambahan, berbanding yang hanya menerima satu suntikan.
Analisis itu terhad kepada individu yang berumur 60 tahun ke atas yang menerima dos penggalak kedua mereka, empat bulan selepas suntikan pertama.
Kajian kedua – analisis terhadap pekerja penjagaan kesihatan Israel berumur 18 tahun ke atas – menunjukkan bahawa tahap antibodi pada mereka yang menerima dos penggalak kedua adalah jauh lebih tinggi.
“Kajian berkenaan juga mendedahkan tiada kebimbangan keselamatan baharu pada individu yang menerima dos penggalak tambahan,” kata syarikat itu.
Memandangkan rejimen awal vaksin Pfizer-BioNTech adalah dua dos, maka penggalak tambahan adalah suntikan keempat untuk kebanyakan individu.
Beberapa negara Eropah serta Israel telah meluluskan dos penggalak kedua untuk populasi yang lebih berusia dan mempunyai kadar imun lemah – iaitu paling berisiko untuk mendapat gejala teruk jika dijangkiti COVID-19.- Agensi