Berita Utama

Jawi benar solat Tarawih 20 rakaat di masjid, surau

Boleh adakan majlis berbuka puasa, moreh dan sahur

BANGI, 14 Syaaban 1443H, Khamis – Semua masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan ini.

Kebenaran itu antara ketetapan terkini aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan Fasa Peralihan ke Endemik.

Melalui ketetapan yang berkuat kuasa 1 April itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut membenarkan solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan.

Bagaimanapun, jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri, kata Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.

“Kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang telah menerima vaksin COVID-19.

“Masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat pada bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti qiamullail juga dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau mulai tengah malam.

“Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan untuk diadakan di masjid dan surau dan makanan digalakkan untuk disediakan secara berbungkus.

“Dibenarkan aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau serta boleh dilaksanakan pada mana-mana waktu yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil,” katanya.

Mohd Ajib berkata, semua kebenaran itu adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semoga lebih ramai dapat mengimarahkan masjid dan surau di wilayah-wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button