Berita Utama

Kes Adib: Bukti apa lagi kerajaan perlukan?

Rakyat bimbang tiada individu tampil beri maklumat, lalu kes dianggap tidak kukuh

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 14 Syaaban 1443H, Khamis – “Apa yang hakim minta adalah siasatan kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijalankan ke arah menyiasat ‘elemen pembunuhan’, bukannya mencari bukti-bukti lain untuk mengesahkan kes,” demikian tegas Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya.

Beliau dipercayai berkata demikian kerana kecewa dengan Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang baru-baru ini memutuskan untuk mendapatkan kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau bukti bergambar serta video kejadian.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka yang tidak berpeluang tampil ke depan untuk memberikan maklumat boleh menghubungi sektretariat di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Melahirkan rasa hairan dengan kenyataan itu, Aminuddin menyifatkan ia agak mengelirukan memandangkan semua bukti sudah diberikan ketika perbicaraan di mahkamah sebelum ini.

“Adakah ‘public’ ada maklumat tambahan walhal semua sudah diberikan semasa perbicaraan? ‘Public’ mana yang ada bukti tambahan?

“Kebimbangan rakyat ialah jika tiada mana-mana individu yang tampil nanti maka kes ini dianggap tidak ada bukti kukuh, jadi tidak ‘proceed’.

“Kenyataan ini sebenarnya agak mengelirukan, mungkin pihak kerajaan perlu jelaskan secara terperinci apa yang mereka perlukan bukti lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin turut tertanya-tanya mengenai penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.

“Kita tidak pasti apakah terma jawatankuasa yang ditubuhkan ini dan apakah objektif siasatan.

“Ini memandangkan perkara ini telah dibicarakan di Mahkamah Koroner dan keputusan telah dikeluarkan. Semua bukti-bukti telah diberikan semasa perbicaraan dijalankan termasuk saksi-saksi yang terlibat.

“Dalam keputusan koroner jelas mahkamah diberitahu bahawa ada elemen-elemen pembunuhan bukan pelanggaran,” katanya.

Pautan terdahulu;

Kes Adib: Jawatankuasa Khas Siasatan minta orang awam tampil kongsi maklumat

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button