Dunia

Korban gempa di Jepun meningkat

Beberapa gegaran susulan terus berlaku setakat pagi Khamis

TOKYO, 14 Syaaban 1443H, Khamis – Angka korban gempa bumi kuat berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda sebahagian besar pantai timur Jepun dan turut menyebabkan amaran tsunami pada lewat Rabu, meningkat kepada empat orang.

Pihak berkuasa negara itu memaklumkan jumlah mangsa yang cedera juga meningkat kepada lebih 100 orang setakat ini.

Difahamkan, beberapa gegaran susulan kecil terus melanda wilayah Fukushima sehingga pagi ini, namun amaran tsunami untuk gelombang sehingga satu meter sudah ditarik balik.

Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno berkata, empat kematian telah dilaporkan walaupun siasatan masih dijalankan sama ada ia berpunca daripada gempa atau sebaliknya.

Bagaimanapun, 107 mangsa dilaporkan cedera, katanya.

Sementara itu, loji tenaga nuklear dilaporkan diperiksa pada pagi Khamis.

Tokyo Electric Power Company 9501.T dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, mereka telah memeriksa keadaan reaktor di loji Fukushima.

“Kami telah menerima laporan bahawa tiada penyelewengan data di loji nuklear Fukushima Daiichi dan Daini serta loji nuklear Onagawa,” katanya.

Pengendali kilang Fukushima Daiichi berkata, kemudahannya beroperasi seperti biasa pada Khamis.

Agensi Meteorologi Jepun berkata, gegaran awal berukuran 6.1 magnitud berlaku di kawasan sama sebelum gempa kuat pada kedalaman 60km terjadi sekitar jam 11.30 malam waktu tempatan.

“Kita mengalami dua gempa bumi yang kuat. Pertama sangat besar dan gegarannya kuat.

“Saya bersedia untuk berpindah, kemudian gegaran kedua yang lebih besar melanda,” kata pegawai perbandaran di bandar Fukushima. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button