Berita UtamaDunia

Iraq nyahsekat aplikasi Telegram

Keputusan dibuat selepas syarikat pengendali sedia berkomunikasi

ERBIL, 26 Muharam 1445H, Ahad – Kementerian Telekomunikasi Iraq menarik balik sekatan ke atas aplikasi Telegram yang dikenakan awal minggu ini.

Sekatan itu sebelum ini dilaksanakan susulan kebimbangan keselamatan dan kebocoran data institusi rasmi negara serta rakyat.

Telegram digunakan secara meluas di Iraq untuk pemesejan bahkan sebagai sumber berita dan untuk berkongsi kandungan.

Sesetengah saluran mengandungi sejumlah besar data peribadi termasuk nama, alamat dan hubungan keluarga rakyat Iraq.

Kementerian Telekomunikasi dalam satu kenyataan menjelaskan, keputusan untuk menarik balik sekatan itu dibuat selepas ‘syarikat yang memiliki platform itu bertindak balas kepada keperluan pihak berkuasa keselamatan yang meminta syarikat itu mendedahkan entiti yang membocorkan data rakyat.’

“Syarikat itu juga menyatakan kesediaan penuh untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa yang berkaitan…,” katanya.

Sebagai respons kepada permintaan Reuters untuk mengulas, seorang ahli pasukan akhbar Telegram berkata ‘tindakan menyiarkan data peribadi tanpa persetujuan adalah dilarang oleh syarat perkhidmatan Telegram dan kandungan tersebut secara rutin dialih keluar oleh moderator kami.’

“Kami boleh mengesahkan bahawa moderator kami mengalih keluar beberapa saluran yang berkongsi data peribadi. Bagaimanapun, kami juga boleh mengesahkan bahawa tiada data pengguna peribadi diminta daripada Telegram dan tiada satu pun telah dikongsi,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Telekomunikasi berkata, syarikat itu tidak menjawab permintaan untuk menutup platform yang membocorkan data institusi rasmi negara dan data peribadi rakyat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button