Russia lancar 43 serangan ke perkhidmatan kesihatan sejak bermula perang
WHO kecam serangan langgar undang-undang kemanusiaan antarabangsa

GENEVA, 14 Syaaban 1443H, Khamis – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan, 43 serangan dilakukan terhadap perkhidmatan kesihatan sejak permulaan perang Russia-Ukraine pada 24 Februari lalu.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya mengecam semua serangan terhadap perkhidmatan kesihatan.
“Ia bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami terus menggesa supaya serangan terhadap perkhidmatan kesihatan dihentikan,” katanya dalam webinar mengenai perang di Ukraine dan pandemik COVID-19, semalam.
Kenyataan itu dibuat ketika Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan, telah merekodkan 1,900 korban awam termasuk 726 kematian di Ukraine sejak permulaan perang – sambil mendakwa angka sebenar adalah jauh lebih tinggi.
Pengarah Eksekutif WHO Untuk Kecemasan Kesihatan, Mike Ryan berkata, serangan itu jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Sektor kesihatan menjadi sasaran dalam situasi ini.
“Ia bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa untuk melakukan serangan seperti ini, tetapi juga tanggungjawab semua pihak yang berkonflik untuk mengelak keadaan ini berlaku,” katanya.
Ghebreyesus menekankan rayuannya untuk Ukraine, WHO hanya menerima AS$8 juta daripada jumlah sasaran iaitu AS$57.5 juta.
“Sejumlah besar wang dibelanjakan untuk senjata. Kami meminta penderma melabur dalam memastikan orang awam di Ukraine dan pelarian menerima penjagaan yang diperlukan,” katanya.
Lebih daripada tiga juta pelarian telah melarikan diri ke negara jiran sejak perang itu bermula, menurut PBB.
Malah, lebih daripada 300 kemudahan kesihatan berada di sepanjang garis konflik atau kawasan yang kini dikawal Russia, dan 600 kemudahan tambahan berada dalam jarak 10 kilometer dari garis konflik.
“Sedihnya, Ukraine bukan satu-satunya tempat di mana pesakit, pekerja kesihatan, kemudahan infrastruktur dan bekalan diserang.
“2022 baru berusia 75 hari, tetapi WHO telah mengesahkan 89 serangan terhadap penjagaan kesihatan di seluruh dunia, di Afghanistan, Burkina Faso, Republik Demokratik Congo, Libya, Nigeria, Palestin, Sudan, Syria dan sudah tentu Ukraine,” kata Ghebreyesus. – Agensi