Berita Utama

Ibu tunggal rugi RM225,900 diperdaya ‘Love Scam’

Mangsa sedari ditipu selepas mesej WhatsApp disekat

MELAKA, 15 Syaaban 1443H, Jumaat – Seorang ibu tunggal kerugian RM225,900 selepas menjadi mangsa ‘Love Scam’ atau penipuan cinta oleh lelaki yang dikenali menerusi laman Facebook sejak Oktober lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supt E Sundra Rajan berkata, wanita berusia 48 tahun dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu sering berhubung dengan lelaki yang mengaku merupakan rakyat Malaysia tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, lelaki itu turut mendakwa dia adalah seorang duda dan mempunyai perniagaan di luar negara.

“Bagi meyakinkan dan mengaburi wanita itu, lelaki berkenaan telah meminta mangsa memindahkan wang miliknya dari akaun ‘West Business Finance’ berjumlah AS$42,000 ke akaun Bank of China bagi menunjukkan dirinya memiliki banyak wang.

“Lelaki itu telah memberikan maklumat akaun bank dan kata laluan yang berdaftar atas namanya kepada mangsa untuk melakukan transaksi pindahan wang itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sundra Rajan berkata, lelaki berkenaan telah meminta bantuan mangsa sekali lagi untuk membuat pindahan wang dari akaun West Business Finance itu ke akaun Maybank milik ibu lelaki tersebut berjumlah RM10,000 namun transaksi itu tidak berjaya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian meminta wanita berkenaan mendahulukan wang untuk dipindahkan ke dalam akaun yang didakwa milik ibu lelaki tersebut dan disebabkan percaya dengan janji bahawa mereka akan mengikat tali pertunangan pada Januari 2022, wanita itu telah memindahkan wang RM10,900 ke akaun yang diberikan.

“Suspek sekali lagi telah meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang dari akaun West Business Finance sejumlah RM2.5 juta ke akaun sebuah firma guaman dengan mendakwa bayaran itu bertujuan untuk pembelian rumah di Setia Alam, Selangor.

“Transaksi itu bagaimanapun dikatakan tidak berjaya kerana pemindahan dengan amaun yang tinggi perlu dikenakan bayaran kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan suspek meminta mangsa mendahulukan wang miliknya kepada IMF dan telah membuat lapan kali transaksi pindahan wang berjumlah keseluruhan RM215,000 ke akaun yang diberikan suspek,” katanya.

Beliau berkata, wanita itu menyedari dirinya ditipu selepas mesej WhatsAppnya disekat dan lelaki tersebut menghilangkan diri.

Katanya, wanita berkenaan membuat laporan mengenai kejadian di Balai Polis Banda Hilir pada 26 Februari lepas dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button