Berita UtamaDunia

Serangan Russia halang pemindahan orang awam di Luhansk

Pihak berkuasa tempatan harap gencatan senjata dipersetujui esok

LVIV, 15 Syaaban 1443H, Jumaat – Serangan yang kerap dan meluas oleh tentera Russia menghalang pemindahan selamat orang awam dari bandar dan kampung di barisan hadapan, kata Gabenor wilayah Luhansk di timur Ukraine.

Gabenor Luhansk, Serhiy Gaidai berkata, 59 orang awam terbunuh di wilayah itu sejak permulaan perang, yang menurutnya telah memusnahkan sepenuhnya beberapa kawasan kediaman.

“Tiada satu komuniti yang tidak diserang,” katanya di televisyen nasional, menamakan bandar Severodonetsk, Rubizhne dan Popasna sebagai kawasan ‘hot spot’ tertentu.

Usaha untuk memindahkan orang awam dihalang oleh pertempuran, bagaimanapun pihak berkuasa tempatan berharap gencatan senjata sementara boleh dipersetujui pada Sabtu ini bagi membolehkan trak mengagihkan makanan, ubat-ubatan dan bantuan lain kepada golongan yang paling memerlukan.

Bersempadan dengan Russia, Luhansk terletak di wilayah Donbass yang kaya dengan arang batu di Ukraine – yang sebahagiannya dikawal oleh pemisah disokong Russia sejak 2014.

Gabenor Gaidai ialah ketua pentadbiran Ukraine di wilayah berkenaan.

Sebelum ini, Russia menafikan menyasarkan orang awam sejak permulaan pencerobohan 24 Februari ke atas Ukraine, yang digelar sebagai operasi ketenteraan khas untuk melucutkan senjata dan menyahnazikan jirannya di selatan – sebuah negara demokrasi dengan 44 juta penduduk. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button