Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

48 cerun di Ampang Jaya dalam kategori kritikal

Perlukan kos hampir RM100 juta untuk pembaikan

SHAH ALAM, 15 Syaaban 1443H, Jumaat – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini dimaklumkan  sebanyak 48 daripada 118 cerun di bawah penyeliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) adalah dalam kategori sangat kritikal dan memerlukan kos kira-kira hampir RM100 juta untuk pembaikan.   

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, bagaimanapun, kos sebenarnya bergantung kepada kajian lanjut oleh pakar seperti Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) juga telah memohon kerjasama daripada Ikram untuk melaksanakan kajian dan pembaikan lanjut cerun dalam kawasan PBT,” katanya semasa sesi penggulungan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada persidangan DUN Selangor hari ini.  

Ng berkata sebagai langkah awal, MPAJ melaksanakan lantikan panel kontraktor penyelenggaraan cerun berkategori sangat bahaya supaya tindakan awal penjagaan cerun dapat dilaksanakan dan sebarang tanda awal kegagalan cerun dapat diambil tindakan. 

Mengenai perancangan solusi jangka pendek bagi mitigasi banjir di peringkat PBT, beliau berkata, perancangan berkenaan sedang diperkasakan lagi bagi memastikan keberkesanannya.

“Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Shah Alam sedang melaksanakan pelan tindakan banjir untuk sistem saliran perbandaran mampan (Shah Alam Sustainable Urban Drainage Master Plan) yang selari dengan pelan tindakan perubahan iklim,” katanya.

Beliau berkata Majlis Bandaraya Subang Jaya pula dalam proses pemasangan sistem amaran awal banjir di 11 kawasan dengan anggaran kos RM330,000 dan sedang melaksana Rancangan Komunikasi Banjir. 

“Sehubungan itu, PBT digalakkan untuk menggunakan teknologi yang dirangka sesuai dalam mitigasi banjir pada masa hadapan,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button