Berita UtamaDunia

Zionis sembur racun ke kawasan tanaman Palestin di timur Gaza

60 hektar tanah terkesan, jejaskan kehidupan 35 ke 40 petani

RAMALLAH, 16 Syaaban 1443H, Sabtu – Tentera pengganas Israel terus bertindak kejam apabila tergamak menyembur bahan kimia dipercayai racun herba ke kawasan tanaman milik petani Palestin bersebelahan pagar sempadan di timur Semenanjung Gaza.

Seorang petani, Youssef Abu Maghadid berkata, kekerapan semburan ditentukan oleh arah angin dan hanya berhenti apabila hujan atau angin kuat bertiup ke arah yang bertentangan.

“Mereka akan memulakan proses menyembur di sempadan pagar apabila angin bertiup ke barat iaitu ke arah tanah Palestin, bagi membolehkan racun herba meliputi kawasan yang lebih besar di dalam tanah milik kami.

“Apabila angin beralih arah ke timur mereka menghentikan segera kerana akan membahayakan mereka,” katanya.

Di Gaza kira-kira 40,000 penduduk Palestin bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber kehidupan mereka.

Dalam semburan terbaharu, seorang petani berusia 47 tahun menganggarkan sekurang-kurangnya 60 hektar tanah terkesan yang secara langsung menjejaskan kehidupan 35 ke 40 petani di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, tentera negara haram Israel mendakwa, semburan dilakukan bagi membersihkan semak samun di kawasan sempadan bersebelahan pagar Gaza bagi tujuan ketenteraan.

Petani Palestin berkata, tindakan itu menimbulkan masalah selain menjejaskan mata pencarian mereka.

Rejim Zionis dipercayai sengaja menggunakan taktik berkenaan sebagai alasan untuk merosakkan tanaman penduduk.

“Kami telah melalui perkara ini sejak sekian lama, setiap minggu mereka akan menghantar dron untuk menyembur tanah kami untuk merosakkan tanaman supaya mereka dapat memantau kawasan itu dengan lebih jelas.

“Kadang-kadang ini berlaku hanya beberapa hari sebelum musim menuai, cuba bayangkan jumlah kerugian yang terpaksa kami tanggung,” katanya.

Lebih zalim, selain penyemburan racun berterusan, petani Palestin juga terpaksa berdepan dengan tembakan gas pemedih mata oleh tentera rejim Zionis yang ditempatkan di sepanjang pagar sempadan di timur Gaza. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button