Berita Utama

EPU kaji penyelesaian jangka panjang tangani isu kawasan Felda

Bagi mentransformasikan kawasan Felda yang moden dan progresi

JELI, 16 Syaaban 1443H, Sabtu – Kerajaan melalui Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (EPU) akan melaksanakan kajian secara komprehensif bagi penyelesaian jangka panjang menangani isu di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kajian itu akan dilaksanakan bagi mentransformasikan kawasan Felda yang moden dan progresif.

“Kajian yang akan bermula tiga bulan lagi akan turut melibatkan libat urus EPU dengan pengurusan Felda serta semua golongan warga Felda termasuk badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) bagi memastikan hasrat dan cita-cita golongan ini, terutamanya generasi kedua Felda diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

“Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan,” katanya kepada pemberita merasmikan Projek Infrastruktur Pelancongan di Bukit Salor, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata kerajaan berpandangan kesemua usaha ini perlu dilaksanakan dengan kaedah lebih holistik dan tersusun supaya warga Felda mendapat manfaatnya.

“Antara isu yang sering dibangkitkan oleh warga Felda adalah isu berkaitan perumahan generasi baharu, peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi di kawasan Felda yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata selain itu, Program Pembangunan Peneroka sedang rancak dilaksanakan yang berjaya memberi pendapatan tambahan sehingga RM1,000 sebulan kepada peserta.

“Setakat ini, kira-kira 55,000 peserta, termasuk generasi kedua terlibat dalam pelaksanaan projek ini menerusi projek ternakan dan pertanian seperti ternakan lembu pedaging serta tanaman nanas MD2 dan halia muda.

“Program ini akan diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dengan FGV Berhad yang akan bertindak sebagai rakan strategik,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata Program Pembangunan Peneroka (PPP) telah memberi manfaat kepada 55,000 peneroka Felda sebagai usahawan.

“PPP telah dimulakan pada April 2019 dengan dana sebanyak RM1 bilion. Program ini melibatkan penyertaan para peneroka melalui penglibatan mereka secara plasma (individu) atau melalui koperasi.

“Sehingga kini, kerajaan telah meluluskan sebanyak 7,225 projek PPP Felda di seluruh negara dan 621 daripadanya adalah projek yang telah diluluskan di Felda Gua Musang yang melibatkan 3,114 peneroka di jajahan tersebut,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button