Berita UtamaDunia

Perang Russia-Ukraine sebabkan harga makanan melambung di Afghanistan: WFP

Situasi akan memberi kesan terhadap usaha kemanusiaan

KABUL, 16 Syaaban 1443H, Sabtu – Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran, perang Russia dan Ukraine bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia tetapi memberi kesan kepada harga makanan serta bahan api di Afghanistan.

Sejak Taliban mengambil alih tampuk kerajaan Ogos tahun lalu, Afghanistan berdepan krisis ekonomi apabila kira-kira 95 peratus daripada 38 juta penduduknya berdepan masalah kelaparan.

Jurucakap WFP, Shelley Thakral berkata, harga makanan di negara ini melambung sehingga 40 peratus sejak lapan bulan lalu walaupun pihaknya menyediakan AS$1 billion untuk membeli makanan.

Namun begitu, katanya mereka masih memerlukan kira-kira AS$1.6 bilion lagi untuk keperluan tahun ini.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan saya fikir keadaan bukan sahaja di Afghanistan tetapi tempat lain di seluruh dunia.

“Sehingga kini, negara penderma tidak mengenepikan Afghanistan tetapi mereka juga perlu membantu negara lain apabila lebih tiga juta pelarian melarikan diri dari Ukraine sejak Russia melancarkan perang pada 24 Februari lalu,” katanya.

Kenyataan Thakral selari dengan Ketua bagi pelarian PBB, Filippo Grandi yang membuat lawatan ke Kabul, baru-baru ini sambil menyifatkan peperangan mampu membantutkan usaha membantu rakyat Afghanistan.

Malah, peperangan juga menyebabkan harga makanan melambung tinggi sekali gus boleh melumpuhkan usaha kemanusiaan tersebut.

Walaupun kebanyakan bekalan gandum Afghanistan dari Kazakhstan dan Uzbekistan, namun peningkatan kos makanan serta bahan api akibat perang boleh menyebabkan kos menyediakan bantuan kemanusiaan meningkat sebanyak 20 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button