Perwakilan UMNO mahu MN ditamatkan segera
'Untuk apa kita simpan kudis yang akan menjadi barah'

BANGI, 16 Syaaban 1443H, Sabtu – UMNO berpendirian sudah tiba masa untuk menamatkan hubungan bersama PAS melalui Muafakat Nasional (MN) yang dilihat tiada jalan lagi untuk diperkasakan.
Perwakilan UMNO Terengganu, Bazlan Abd Rahman berkata, Piagam MN yang ditandatangani pada 14 September 2019 kini sudah berada di hujung dan hampir menjadi sejarah.
“Semua ini gara-gara sikap PAS yang berjinak-jinak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui Perikatan Nasional (PN).
“Bahkan ucapan pemimpin PAS akhir-akhir ini bersifat prejudis seolah-olah kita yang menyebabkan retaknya MN,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.
Bazlan menjelaskan, di Terengganu, akar umbi jelas mahu MN ditamatkan dan merasakan tidak wajar lagi hubungan kerjasama itu diteruskan.
“Untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat? Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan PAS.
“Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itulah yang ditunggu oleh PAS sendiri.
“Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin, orang tak hendak kita pun tak ingin,” katanya.
Berkongsi pengalaman MN di Terengganu, beliau berkata, UMNO menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.
“Sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yang dapat ditunjukkan.
“Dalam banyak hal, kerajaan PAS Terengganu tidak langsung mengambil kira keberadaan wakil rakyat UMNO, Barisan Nasional (BN) yang dipilih rakyat,” katanya.
Bazlan dalam masa sama turut mempersoalkan adakah PAS Terengganu benar-benar ikhlas menghormati piagam MN yang ditandatangani di peringkat pusat.