Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Sistem pendidikan perlu ke arah pendigitalan selari keperluan industri

Latih anak muda dengan kemahiran tinggi serta berkualiti dalam bidang diperlukan

JELI, 16 Syaaban 1443H, Sabtu – Sistem pendidikan negara perlu berubah ke arah pendigitalan, sesuai dengan keadaan semasa dan kehendak industri yang memerlukan pekerja berkemahiran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, peredaran zaman berlaku secara dinamik dan adakalanya kemahiran yang dimiliki tenaga kerja sudah tidak relevan dengan kehendak industri sekali gus menyebabkan gaji rendah ditawarkan majikan.

Isu kenaikan gaji merupakan isu yang besar, namun ia perlu selaras dengan peningkatan kemahiran yang perlu dimiliki rakyat di negara ini.

“Pelabur yang datang ke Malaysia memerlukan pekerja tempatan berkemahiran tinggi dan cara itu dapat memastikan gaji ditingkatkan.

“Kita perlu melatih anak muda dengan kemahiran tinggi serta berkualiti dalam bidang yang diperlukan dan sudah pasti akan dapat gaji tinggi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Jeli.

Mustapa berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Projek Infrastruktur Pelancongan di Bukit Salor, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kedudukan Malaysia dalam Purata Tahun Persekolahan menggambarkan kekurangan kemahiran dalam kalangan pekerja tempatan sehingga menyebabkan tawaran gaji yang rendah oleh majikan.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata, pendigitalan dalam sistem pendidikan sedang dilaksanakan secara berterusan menerusi sekolah rendah, menengah, kolej vokasional dan universiti bagi meningkatkan kemahiran belia dan rakyat negara ini.

“Kerajaan sentiasa melakukan perubahan terhadap sistem pendidikan negara melalui Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia bagi meningkatkan kemahiran dalam kalangan rakyat di negara ini untuk peluang pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau menambah perubahan itu bagaimanapun perlu bersesuaian dengan keadaan semasa, dinamik dan menepati keperluan industri. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button