847 orang awam terbunuh di Ukraine sejak konflik bermula
Jumlah korban sebenar dianggar jauh lebih tinggi

ZURICH, 17 Syaaban 1443H, Ahad – Sekurang-kurangnya 847 orang awam terbunuh dan 1,399 cedera di Ukraine setakat 18 Mac.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) berkata, kebanyakan mangsa yang terkorban adalah akibat tembakan daripada artileri berat dan pelbagai pelancaran sistem roket.
Turut termasuk serangan peluru berpandu dan udara, kata OHCHR.
Bagaimanapun, katanya, jumlah korban sebenar dirasakan jauh lebih tinggi.
Ini kerana, katanya, OHCHR yang mempunyai pasukan pemantau besar di negara itu masih belum dapat mengesahkan laporan mangsa dari beberapa bandar yang terjejas teruk.
Sebelum ini, Russia menafikan menyasarkan orang awam sejak permulaan pencerobohan 24 Februari ke atas Ukraine, yang digelar sebagai operasi ketenteraan khas untuk melucutkan senjata dan menyahnazikan jirannya di selatan – sebuah negara demokrasi dengan 44 juta penduduk. – Agensi