Berita Utama

Kertas siasatan kes peniaga kibar bendera Israel sudah lengkap

Suspek didapati punyai empat rekod jenayah berkaitan dadah

BANGI, 10 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Polis Terengganu sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes peniaga lelaki didakwa mengibar bendera Israel di premisnya di negeri itu minggu lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki berusia 30-an itu yang didakwa terbabit mengibarkan bendera berkenaan.

Katanya, pihaknya kini menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN).

“Kita telah menyiapkan siasatan dan akan hantar pada PPN untuk mendapatkan arahan seterusnya.

“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 5 Akta Lambang Dan Nama 1963 (Penggunaan Tidak Wajar), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995 iaitu perbuatan dengan niat untuk menganggu keamanan dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah berkaitan dadah selain dikehendaki untuk kes Seksyen 39C ADB 1952,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Dalam pada itu, Mazli mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan tindakan yang boleh membangkitkan kegusaran masyarakat termasuk mengibar bendera Israel yang boleh mencetuskan kemarahan.

Terdahulu, tular di media sosial dua keping gambar menunjukkan bendera negara haram Israel dikibarkan di sebuah premis di Bukit Payong, Marang.

Tindakan itu mengundang kecaman ramai bahkan kebanyakan pemilik akaun media sosial meluahkan rasa marah dan tidak setuju dengan perbuatan tersebut.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button