Wanita ISMA gesa stesen televisyen halang tayang drama berunsur lucah
Adakah pelakon, pengarah dan penerbit tiada rasa malu lakonkan adegan sedemikian?

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Sudah tiba masanya Malaysia menerbitkan lebih banyak filem dan drama yang bermutu tinggi serta bercorak ilmiah, selain mampu menanam nilai-nilai diri yang tinggi untuk melahirkan sebuah ummah yang bertamadun.
Pandangan berkenaan disuarakan Ketua Wanita, gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustazah Dr Suriani Sudi selepas tular potongan drama tempatan memaparkan adegan tidak senonoh dilakonkan pelakon Islam.
Beliau menyatakan rasa kecewa apabila drama itu difahamkan bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen pada bulan Ramadan akan datang.
Bimbang dengan perkara itu, beliau menegaskan, tayangan adegan tidak senonoh yang tular di media sosial adalah satu bentuk normalisasi aktiviti lucah yang cuba diterapkan ke dalam masyarakat.
“Masyarakat cuba untuk dihidangkan dengan aktiviti yang melanggar adat ketimuran dan batas batas pergaulan di dalam Islam.
“Tambah mengecewakan lagi, langsung tiada perasaan malu apabila melakonkan babak-babak tersebut,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.
Meluahkan rasa kesal melihat lakonan sedemikian, Dr Suriani mempersoalkan, apakah tiada rasa sensitiviti dalam diri pelakon, pengarah dan penerbit terhadap perkara tersebut.
Apatah lagi, aksi-aksi lucah yang ditayangkan pada video tersebut jelas merendahkan maruah serta martabat wanita.
Justeru, Wanita ISMA mendesak supaya drama yang langsung tidak membawa manfaat tidak perlu ditayang kepada masyarakat di negara ini sebagai bahan tontonan umum.
Malah, beliau berpandangan, tindakan yang tegas perlu dikenakan terhadap pengarah serta pelakon terbabit antaranya dengan mengenakan sekatan untuk berlakon atau mengarah dalam tempoh beberapa tahun.
Langkah berkenaan bukan dianggap hukuman sebaliknya wajar dilihat sebagai peringatan dalam menyediakan bahan yang lebih memberi manfaat kepada penonton.
Katanya, hiburan dalam Islam adalah diharuskan tetapi perlu bersesuaian dengan syariat Islam dan mempunyai nilai selain membawa mesej yang murni.