Berita Utama

Lebih 1.2 juta kanak-kanak di Malaysia terima vaksin COVID-19

65.8 peratus populasi dewasa terima dos penggalak

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Sebanyak 1,263,287 individu atau 35.6 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,843,805 individu atau 94.6 peratus daripada kumpulan itu telah melengkapkan vaksin mereka manakala 2,942,399 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa, sejumlah 15,483,571 individu atau 65.8 peratus daripada kumpulan itu telah menerima dos penggalak COVID-19 dan seramai 22,943,182 individu atau 97.5 peratus lengkap vaksinasi manakala 23,219,105 atau 98.7 peratus telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin.

Sebanyak 27,330 dos vaksin telah diberikan semalam membabitkan 9,849 suntikan pertama, 1,116 suntikan lengkap dan 16,365 suntikan dos penggalak menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 68,484,635 dos.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 71 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Kedah dan Perak merekodkan kematian tertinggi masing-masing 14 kes diikuti 11 kes di Johor, Selangor (tujuh) manakala lima kes masing-masing di Kelantan, Pulau Pinang and Sarawak.

Negeri Sembilan pula merekodkan empat kes, Terengganu and Kuala Lumpur masing-masing dua kes manakala Pahang dan Melaka masing-masing satu kes. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button