Berita UtamaDunia

7 maut, 20 hilang kapal kargo langgar feri di Bangladesh

Kebanyakan yang hilang wanita dan kanak-kanak tidak tahu berenang

DHAKA, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Kira-kira tujuh orang maut dan 20 lagi hilang selepas sebuah kapal kargo merempuh feri penumpang yang sesak di tengah Bangladesh pada Ahad.

Feri yang membawa kira-kira 60 penumpang itu karam di Sungai Shitalakhsya di daerah perindustrian Narayanganj – kira-kira 20 kilometer (12 batu) dari ibu negara Dhaka.

“Kami sudah menemui tujuh mayat setakat ini dan menyelamatkan hampir 20 orang,” kata Timbalan Pesuruhjaya daerah itu, Md Monjurul Hafiz kepada Anadolu Agency.

Walaupun ramai yang terselamat – berjaya berenang ke darat – saksi berkata, kebanyakan daripada 20 mangsa masih hilang adalah wanita dan kanak-kanak yang tidak tahu berenang.

Rakaman insiden tersebar luas di media sosial dan disiarkan oleh penyiar tempatan menunjukkan, kapal kargo besar merempuh bot dan penumpang melompat ke dalam sungai ketika ia karam dengan pantas.

Kapal kargo berkenaan kemudian dirampas pihak berkuasa beberapa jam selepas kemalangan itu.

Susulan insiden itu, kerajaan menubuhkan dua jawatankuasa siasatan dan mengumumkan pakej pampasan kewangan untuk mangsa serta keluarga mereka.

Kemalangan seperti itu disifatkan perkara biasa di laluan air di negara ini yang digunakan oleh puluhan ribu orang, kebanyakan dari 19 daerah pantai selatan, untuk ke Dhaka.

Menurut rekod rasmi, lebih 3,600 orang maut dan hampir 500 orang hilang dalam lebih 550 kemalangan di laluan air di Bangladesh antara 1991 dan 2020.

Disember lalu, sekurang-kurangnya 49 orang terbunuh dan lebih 70 cedera apabila sebuah feri yang membawa hampir 800 penumpang terbakar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button