Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

COVID-19: Kes turun bawah 20,000 semalam

Kes sembuh yang dicatatkan semalam adalah 28,250

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Kes positif harian COVID-19 negara mencatatkan trend penurunan untuk hari keempat berturut-turut apabila turun ke paras bawah 20,000 dengan 19,105 kes dicatatkan semalam berbanding 22,341 yang direkodkan pada Sabtu (19 Mac).

Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, kali terakhir negara mencatatkan kes positif COVID-19 di bawah 20,000 kes ialah pada 10 Februari tahun ini apabila 19,090 kes direkodkan.

Kes positif harian COVID-19 kemudian meningkat kepada 20,939 kes pada 11 Februari dan terus menunjukkan trend peningkatan sehingga mencecah 32,800 pada 11 Mac lepas sebelum turun kepada 26,250 kes pada 12 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes sembuh COVID-19 yang dicatatkan semalam adalah 28,250 kes, lebih tinggi berbanding kes positif yang dicatatkan.

“Daripada 19,105 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam 18,912 kes atau 98.99 peratus dalam kategori satu dan dua. Sebanyak 8,267 kes dalam kategori satu manakala kes dalam kategori dua adalah 10,645 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 193 kes atau 1.01 peratus daripada jumlah keseluruhan 19,105 kes positif COVID-19 yang dicatatkan semalam dalam kategori tiga, empat dan lima.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada kes COVID-19 yang dicatatkan semalam 81 kes atau 0.42 peratus dalam kategori tiga, 44 kes atau 0.23 peratus dalam kategori empat dan 68 kes atau 0.36 peratus dalam kategori lima.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan atau Rt yang dicatatkan di seluruh negara semalam adalah 0.93 dengan Sarawak mencatatkan kadar paling tinggi iaitu 1.03 dan kadar paling rendah di Sabah iaitu 0.64.

Katanya lima negeri menunjukkan penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu Kuala Lumpur (67 peratus), Johor (66 peratus), Perlis (64 peratus), Kelantan (58 peratus) dan Selangor (56 peratus).

Menurut Dr Noor Hisham kajian dan pengawasan genomik berterusan yang dijalankan oleh tujuh universiti dan Institut Penyelidikan Perubatan menunjukkan varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia.

Katanya tiga sub-lineage varian Omicron yang wujud di negara ini ialah BA.1, BA.1.1, dan BA.2 dan kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta.

“Bagi tempoh 1 hingga 17 Mac tahun ini didapati varian Omicron sub-lineage BA.2 meningkat kepada 27.1 peratus berbanding pada Januari dan Februari tahun ini, dengan pelaporan untuk varian Omicron sub-lineage BA.2 hanyalah masing-masing 0.9 peratus dan 2.7 peratus. Kenaikan mendadak sub-lineage BA.2 adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, Kementerian kesihatan (KKM) menjangkakan besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 akan menjadi varian yang dominan di Malaysia.

Justeru penduduk Malaysia perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2. Pada masa sama perlu khuatir kepada penularan berpanjangan Delta yang berupaya mengakibatkan jangkitan lebih serius terutama dalam kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima dos penggalak, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button