Berita UtamaDunia

Demi kasih sayang, ibu warga Palestin sanggup lawat anak setiap bulan sejak 20 tahun lalu

Tetap taruh harapan untuk kembali berkumpul bersama anak-anak

RAMALLAH, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya tiada nilainya, biarlah bergadai nyawa, ibu pasti sanggup lakukan.

Kisah sama berlaku terhadap ibu tua, Latifa Abu Humaid yang setiap bulan sejak 20 tahun lalu tetap setia bersama puluhan rakyat Palestin yang lain menyertai bantahan di hadapan pintu utama Kem Pelarian Al-Amari, Tebing Barat.

Penyertaan bantahan itu dilakukan sebagai bukti kasih sayang terhadap anak lelakinya, Nasser yang kini berada di penjara Zionis sebagai tahanan pentadbiran dan turut menderita kanser paru-paru.

Sempena Hari Ibu yang disambut di negara Asia Barat pada setiap 21 Mac, wanita berusia 73 tahun itu mengakui menyambutnya bersendirian selepas lima anak lelakinya dihumban ke penjara dengan pelbagai tuduhan oleh Zionis.

Seorang daripada anak lelakinya dibunuh pada 1994 manakala seorang lagi tidak bersama berikutan dalam ketakutan kerana beberapa kali dikenakan tahanan pentadbiran oleh Zionis.

Latifa berkata, dalam tempoh hampir 20 tahun lalu, tentera pengganas Zionis memenjarakan seorang demi seorang anaknya, sambil menambah sejak 2003, ahli keluarga tidak dapat berkumpul bersama lagi.

Malah, ketika 1994, tentera pengganas merobohkan kediamannya buat kali pertama selain membunuh anak lelaki sulung, Abdul Munem Abu Humaid, yang merupakan seorang daripada ahli Briged Al- Qassam.

Selepas itu, beberapa anaknya ditahan di penjara dan sejak itu Latifa menjadikan rutin bulanan untuk mengunjungi Penjara Ashkelon di tengah Israel bagi melawat anak-anaknya.

“Sejak anak saya dipenjarakan pada hujung tahun 2017, pihak berkuasa Israel meletakkan anak-anak lelaki saya di penjara yang berasingan, sebagai hukuman tambahan kepada keluarga,” katanya.

Lebih menyedihkan sejak kehadiran COVID-19, wanita itu tidak lagi mengunjungi penjara berikutan keadaan kesihatan diri selain kesukaran untuk melawat di penjara yang berasingan, setiap bulan.

Sejak itu, Latifa cuba memberi sokongan kepada semua anak-anak lelakinya di luar penjara dengan menyertai bantahan sebagai tanda sokongan di atas penahan berkenaan.

Kini, Latifa sentiasa dalam keadaan kebimbangan berikutan kesihatan anaknya yang semakin kritikal sejak tidak boleh berhubung dengan anak lelaki kesayangannya selepas pihak penjara tidak membenarkan dia melawat di Hospital Penjara, Al-Ramla.

Kongsinya dua bulan lalu, dia dibenarkan melawat anaknya selepas dilaporkan koma ketika dirawat Pusat Perubatan Barzilai, selatan Israel di bawah kawalan ketat pihak berkuasa Israel, yang memaksanya berdiri dua meter daripada anaknya.

Bagaimanapun, ibu tua itu tetap menaruh harapan anak-anaknya kembali ke rumahnya selepas lebih 19 tahun ditahan di bawah penjara Zionis.

Malah, berharap pihak berkuasa Zionis membebaskan anaknya dan tahanan Palestin yang lain. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button