Kolumnis

Ismail Sabri perlu jadi PM lagi selepas 2023

Beri peluang teruskan kepemimpinan sepenggal lagi bawa negara lebih berjati diri

WALAUPUN ada surat layang pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu, mendakwa Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan Perdana Menteri (PM) paling lemah kerana tidak mampu menyelesaikan pelbagai isu. Pada saya, itu adalah tindakan bacul, orang yang kecewa kerana tidak dapat habuan.

Apa jaminan bahawa jika bukan Ismail Sabri sebagai PM, keadaan akan menjadi lebih baik? Jika bertambah buruk bagaimana? Kita sudah saksikan apa yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Bermula Ogos 2021, Ismail Sabri menjadi PM, saya tidak nampak akan ‘kegagalan’ seperti yang didakwa oleh surat layang tersebut.

Paling ketara, saya lihat ada PM terdahulu tidak mampu lakukan, Ismail Sabri mampu lakukan.

Saya tidak mahu bincang daripada segi pakej rangsangan ekonomi dan kaedah menangani pandemik COVID19 kerana saya bukan pakar ekonomi dan pakar perubatan.

Apa yang mahu sentuh adalah soal mendaulatkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan atau bahasa negara, yang tidak pernah dilakukan oleh PM sebelum ini secara serius. Walau tidak ada dinafikan ada sedikit inisiatif dilakukan.

Belum pernah saya lihat PM terdahulu bercakap akan kesungguhan mendaulatkan bahasa Melayu di peringkat lokal dan global. Kesemua terlalu obsess dengan bahasa Inggeris. Saya tidak nafikan kepentingan bahasa antarabangsa itu

Soalnya, bahasa kita sendiri bagaimana? Takkan nak dibiarkan merempat di negara sendiri sehingga lihat bahasa asing lebih mendominasi? Di Pulau Pinang dan Kajang, misalnya, sudah jadi macam Hong Kong dan Taiwan.

Saya cukup teruja dengan ucapan Ismail Sabri dalam PAU, sebagai berkata kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi membolehkan agensi itu mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Perdana Menteri, berkata Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

Walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diberikan kuasa, nampak PBT tidak mampu melakukannya, sudah hanyut dengan habuan dunia.

Maka, PM mahukan Akta DBP diperkasa dengan DBP diberikan kuasa penguatkuasaan. Misalnya, penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda, DBP boleh mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kuasa (yang berkaitan hal penggunaan bahasa).

Ismail yang juga Naib Presiden UMNO berkata, bagi terus memartabatkan bahasa Melayu, semua pelajar asing di negara ini wajib mempelajarinya dan perkara itu dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi.

Selain itu, pekeliling juga telah dikeluarkan kepada agensi, kementerian dan syarikat berkaitan kerajaan untuk menggunakan bahasa Melayu dalam setiap program.

Saya mahu mencadangkan supaya sekolah vernakular seperti SJKC dan SJKT, turut diarahkan menggunakan bahasa Melayu secara serius walaupun tidak sepenuhnya.

Paling tidak, masa Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) mesti ditambahkan daripada 180 minit seminggu pada masa kini kepada 360 minit seminggu.

Semua pengumuman dan notis hendaklah mendahulukan bahasa Melayu daripada bahasa ibundanya.

Dalam kata lain, SJKC tidak boleh beroperasi secina-cinanya, kerana sampai bila-bila pun anak-anak atau murid-murid Cina tidak akan dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Mulakan dengan meletakkan nama SJKC dalam bahsa Melayu terlebih dahulu. Kita tidak mahu mereka mendahulukan bahasa Cina daripada bahasa negara, kerana negara ini bukan negara China.

Kita mahu, jika apa jua usaha yang dilakukan masih tidak dapat memandaikan rakyat berkomunikasi dalam bahasa Melayu sudah sampai masanya, tindakan yang lebih tegas dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan.

Teramat malang sekali, masih ramai rakyat Malaysia, khusus orang Cina yang masih atau tidak boleh langsung berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Selain PM, pemimpin UMNO yang lain mesti menyambut saranan Naib Presiden UMNO ini, untuk menjuarai usaha memartabatkan Bahasa Melayu.

Kita tidak mahu pemimpin UMNO hanya kokok berdegar-degar ekor. Terlalu obses dengan bahasa Inggeris, sehingga bahasa Melayu dianaktirikan.

Seperti saranan PM, sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan bahasa Melayu. Justeru, tidak ada sebab untuk kita berasa janggal berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘bahasa jiwa bangsa’.

Konsep “bahasa jiwa bangsa” inilah yang menjadi pegangan sampai mati pemimpin ultra kiasu, sebab itu mereka berjaya memartabatkan bahasa ibunda mereka sendiri meskipun berada di bumi orang.

Memberi contoh semasa lawatannya ke Kemboja dan Thailand bulan lepas, Ismail berkata beliau menggunakan bahasa Melayu semasa sidang media bersama pemimpin kedua-dua negara dan akan berbuat demikian pada lawatan keluar negara seterusnya.

Sebagai rakyat, kita amat menyanjung cita-cita PM mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN memandangkan lebih 300 juta penduduk di rantau itu menggunakannya sebagai bahasa pertuturan sekali gus menjadikan ia antara bahasa penutur teramai di dunia.

Perkara ini sememang boleh dilakukan jika ada komitmen daripada semua pihak. Bukannya asyik berpolitik. Atau mahu berlagak menunjukkan dia boleh berbahasa Inggeris

Sudah tentu amat menyedihkan jika ada terdapat anak-anak orang Melayu sendiri yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu kerana terlalu obses dengan bahasa Inggeris.

Orang Melayu sebegini tidak layak tinggal di Tanah Melayu. Mereka sepatutnya berada di negara yang menjadi pilihan bahasa utamanya.

Kadang-kadang teramat sedih, apabila memperkatakan isu ini, ada dalam kalangan anak-anak pemimpin Melayu sendiri yang tidak tahu berbahasa Melayu kerana terlalu obsess dengan sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris.

Kita mesti buang pemikiran ultra kiasu jauh-jauh yang memandang rendah kepada bahasa Melayu. Kepada mereka, bahasa Melayu tidak ada nilai komersial, tidak boleh memperkayakan mereka.

Ultra kiasu hanya berfikir soal duit. Kita memperkatakan soal pembinaan negara bangsa. Mereka yang bertuhankan duit akan lari, tetapi mereka memikirkan pembinaan negara akan tetap setia. Manakah yang kita mahukan.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button