Berita Utama

Pengeluaran KWSP strategi UMNO berlagak ‘hero’?

Banyak lagi pendekatan lebih relevan tangani kesusahan, kenapa duit rakyat juga diperguna?

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 disifatkan sebagai langkah yang tidak wajar.

Ia juga dilihat seperti agenda politik di mana sesebuah parti itu mahu menunjukkan keperkasaannya, di samping berlagak ‘hero’ di hadapan rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, langkah pengeluaran dana khas itu dipercayai merupakan desakan kuat daripada pimpinan UMNO sendiri terutama selepas beberapa kali memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

“BERJASA melihat UMNO sebenarnya menggunakan ruang dan peluang ini untuk mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Bagi membangkitkan semangat rakyat untuk cenderung menyokong UMNO memenangi PRU nanti, jadi mereka terpaksa guna strategi iaitu isu membabitkan KWSP kononnya mereka adalah parti yang memperjuangkan nasib rakyat.

“Ini adalah strategi UMNO untuk curi ‘mood’ rakyat supaya memihak kepadanya bagi memenangkan mereka dalam PRU15 nanti yang sedang didesak untuk disegerakan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Walhal, katanya, terdapat banyak lagi pendekatan yang lebih relevan boleh digunakan kerajaan bagi menangani kesusahan rakyat.

Tetapi mereka memilih untuk ‘menggunakan’ isu KWSP yang hakikatnya adalah daripada duit rakyat juga.

Menilai keadaan itu, Ustaz Zamani berkata, kerajaan sebenarnya kalah dengan desakan UMNO yang dipimpin oleh pemimpin rakus dan tamak dengan kuasa.

“Inilah mentaliti pemimpin UMNO yang hanya mahu membawa kepentingan agenda parti, dan bukannya melihat kepentingan negara, kekuatan ekonomi negara, hari ini,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan tidak mencampuri kewangan milik rakyat yang perlu digunakan sebagai bekalan di hari persaraan.

Sebaliknya, pelbagaikan lagi kemudahan-kemudahan lain yang dapat membantu rakyat dengan cara yang lebih ikhlas.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi pengumuman khas bersetuju membenarkan satu lagi pusingan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan masih ada dalam kalangan Keluarga Malaysia terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button