Berita Utama

Pertumbuhan ekonomi, hutang kerajaan antara fokus Dewan Rakyat hari ini

Turut dibangkitkan isu bebanan beg sekolah ditanggung pelajar

KUALA LUMPUR, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Data terkini pertumbuhan ekonomi negara, keadaan fiskal, hutang kerajaan serta kaedah mengurangkan defisit dan hutang itu antara persoalan yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, perkara itu terkandung semasa sesi soal jawab yang akan diajukan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) kepada Menteri Kewangan.

Turut terkandung dalam sesi itu adalah soalan Dr Maszlee Malik (PH-Simpang Renggam) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai usaha dan inisiatif kementerian untuk membantu para pelakon serta artis menyimpan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) demi masa depan dan saraan hari tua mereka.

Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) pula meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan usaha kementerian bagi menangani isu bebanan beg sekolah berat yang ditanggung oleh pelajar khususnya di sekolah rendah.

Selain itu, pertanyaan mengenai status terkini projek-projek solar di bawah Projek Solar Berskala Besar Pusingan Ketiga (LSS3) dan Program Solar Berskala Besar Bagi Menarik Pelaburan Tenaga Boleh Diperbaharui ([email protected]) akan dibangkitkan oleh Yeo Bee Yin (PH-Bakri) kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Turut ditanya adalah mengenai usaha dan perancangan kementerian untuk mengurangkan bilangan gelandangan di seluruh negara yang diajukan oleh Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Bersatu-Alor Gajah) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Selesai sesi tersebut, bacaan kali pertama Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 serta Rang Undang-undang Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2022 masing-masing dijangka dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Turut dijangka menjadi tumpuan adalah sesi bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kerja (Pindaan) 2021, Rang Undang-undang Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2021) 2022.

Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button