Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

RUU Anti Lompat Parti perlu dilulus segera tanpa sebarang ugutan

‘Jangan benarkan individu lompat parti bertanding semula’

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti seharusnya diluluskan segera tanpa perlu ada sebarang ugutan daripada mana-mana pihak untuk meluluskannya.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia bagi mengelakkan sistem demokrasi di negara ini terus tercemar susulan tindakan wakil rakyat melompat parti.

“Jika tidak diluluskan, ia cemarkan sistem demokrasi yang ada. Mandat rakyat yang diberikan kepada seseorang itu tidak harus dikhianati dengan lompat sana sini.

“Itu antara perkara yang perlu diatasi oleh pemimpin yang ada dengan membawa RUU ini ke Dewan Rakyat untuk diluluskan, Jangan tunggu, main ugut.

“Kena ada konsensus, kalau tidak buat begitu maka, kita tekan butang, tak payahlah. Kita kena bersuara pastikan RUU seumpama ini dibawa dan diluluskan namun, perinciannya kena ada,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu menjelaskan sekiranya ada wakil rakyat yang keluar daripada parti secara individu contohnya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) mahupun keluar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), maka ia memerlukan tindakan tegas.

“Sekiranya ia membabitkan seorang individu maka, tindakan disiplin harus diambil,” katanya.

Beliau menegaskan, perincian yang jelas perlu ada bagi memastikan seseorang yang melompat parti itu tidak harus dibenarkan bertanding semula.

“Bagi saya, jangan galakkan orang sebegini bertanding semula, seperti pengedar dadah boleh digantung seumur hidup maka, pengajaran sebegitu juga perlu kepada ahli politik.

“Lain cerita kalau mereka berkumpulan keluar daripada gabungan. Banyak perkara perlu diperincikan tentang perkara ini.

“Namun saya setuju RUU ini jangan tunggu lagi. Saya sudah membahaskan perkara ini di Dewan Rakyat malah, saya sudah maklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bahawa usul ini perlu dibawa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button