Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Terengganu kembalikan bantuan dana raya, i-Fitri

Peruntuk RM56 juta demi manfaat kepada 148,700 ketua isi keluarga

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Kerajaan PAS Terengganu mengembalikan pemberian bantuan dana raya bagi meringankan beban rakyat terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak RM56 juta diperuntukkan untuk bantuan dana raya, i-Fitri yang dimanfaat kepada 148,700 ketua isi rumah (KIR) di negeri berkenaan yang layak mulai 17 hingga 23 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan sebanyak RM400 diberikan kepada 128,450 isi rumah miskin.

Manakala RM250 pula kepada 20,250 isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.

Mereka yang layak boleh memohon bantuan berkenaan melalui portal https://ibantuan.terengganu.gov.my bermula 22 Mac hingga 31 Mac.

“Peruntukan dana i-Fitri meningkat berbanding RM33.4 juta yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Belanjawan Terengganu 2022 kerana kita mahu lebih ramai rakyat menerima manfaat tersebut.

“Pembayaran dibuat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dan pemohon yang berjaya akan menerima baucer menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Sebelum ini, isu dana raya menjadi pertikaian ramai kerana bantuan berkenaan dihentikan kerajaan negeri pada tahun lalu.

Sebaliknya, ia disalurkan dalam bentuk bantuan COVID-19 kepada golongan yang memerlukan.

Mengulas lanjut mengenai pemberian dana tahun ini, Hanafiah berkata, pemohon yang layak mestilah menetap dan mengundi di Terengganu selain berdaftar dalam sistem Profil Rakyat Terengganu 2020 (PRT20) dengan pendapatan seperti ditetapkan dalam kedua-dua kategori.

Bagaimanapun, katanya, semua penjawat awam dan lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan, kontraktor berdaftar serta peniaga berlesen tidak layak untuk memohon bantuan berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri berhak menolak permohonan dan meminda apa-apa syarat di atas dari semasa ke semasa tanpa notis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button