Berita Utama

Tindakan tegas jadikan fasih bahasa Melayu syarat dapat kewarganegaraan

Daulatkan bahasa kebangsaan, letak nama SJKC dalam bahasa Melayu

BANGI, 18 Syaaban 1443H, Isnin – Pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mengesyorkan, supaya sekolah vernakular – seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – diarah menggunakan bahasa Melayu secara serius walaupun tidak sepenuhnya.

Cadangan tersebut disuarakan susulan hasrat kerajaan untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu termasuk di peringkat daerah.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, bahawa beliau sudah memaklumkan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad supaya semua pelajar asing yang belajar di negara ini mesti mempelajari bahasa Melayu.

Beliau menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia di ibu kota, baru-baru ini.

Naib Presiden UMNO itu berkata, ia adalah usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menjadikan bahasa kebangsaan Malaysia itu sebagai bahasa ilmu.

“Sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan BM, justeru tidak ada sebab untuk kita rasa janggal berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” katanya.

Atas dasar tidak mahu bahasa kebangsaan dipinggirkan, Prof Mohd Ridhuan Tee menyarankan agar meletakkan nama SJKC dalam bahasa Melayu terlebih dahulu.

“Kita tidak mahu mereka mendahulukan bahasa Cina daripada bahasa negara, kerana negara ini bukan negara China.

“Kita mahu, jika apa jua usaha yang dilakukan masih tidak dapat memandaikan rakyat berkomunikasi dalam bahasa Melayu sudah sampai masanya, tindakan yang lebih tegas dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai syarat untuk mendapatkan kewarganegaraan.

“Teramat malang sekali, masih ramai rakyat Malaysia, khusus orang Cina yang masih atau tidak boleh langsung berkomunikasi dalam bahasa Melayu,” katanya menulis di ruangan kolumnis Ismaweb.net, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pemimpin UMNO yang lain menyambut saranan Ismail Sabri untuk menjuarai usaha memartabatkan bahasa Melayu.

“Kita tidak mahu pemimpin UMNO hanya kokok berdegar-degar ekor. Terlalu obses dengan bahasa Inggeris, sehingga bahasa Melayu dianaktirikan.

“Seperti saranan PM, sudah tiba masanya kita perlu bangga dengan bahasa Melayu. Justeru, tidak ada sebab untuk kita berasa janggal berbahasa Melayu walaupun di pentas antarabangsa kerana ‘Bahasa Jiwa Bangsa’,” katanya.

Pautan terdahulu;

Ismail Sabri perlu jadi PM lagi selepas 2023

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button